Tuesday, December 14, 2004

Subject: FW:Orang Islam jadi mangsa pengiklanan arak




Orang Islam jadi mangsa pengiklanan arak

Bayangkan seorang Pak Haji yang berkopiah putih,
memakai kain dan berbaju Melayu tanpa beliau sedari
sedang mempromosikan sejenis jenama arak di Malaysia
ini. Bayangkan juga seorang wanita Melayu yang
bertudung sempurna memakai baju kurung batik sutera
juga tanpa disedarinya mempromosikan jenama arak yang
sama.

Bagaimana ini boleh berlaku ? Ianya boleh berlaku, dan
ianya sedang berlaku sekarang ini di negara kita
Malaysia, di sebuah bandar bernama Seremban di negeri
penuh beradat iaitu di Negeri Sembilan. Dan ianya
seakan budaya tahunan apabila menjelangnya perayaan
menyambut tahun baru. Mungkin juga ia berlaku di
merata tempat di Malaysia ini.

Ianya berlaku di sebuah pasaraya terkemuka di Senawang
sekarang ini, apabila terdapat beberapa troli yang
menampalkan iklan-iklan sejenis jenama arak yang agak
baru saya rasa di Malaysia ini. Iklan-iklan arak ini
ditampal pada kiri, kanan dan hadapan troli tersebut.

Dari jauh diperhatikan beberapa pengunjung pasaraya
berkenaan yang berbangsa Melayu sedang menolak
troli-troli iklan arak berkenaan. Mungkin pada
anggapan mereka memandangkan kita berada di dalam
sebuah negara Islam , mana mungkin ada orang yang
ingin menggunakan rakyat Malaysia yang beragama Islam
untuk mempromosikan jenama arak. Adakah perkara ini
berlaku akibat daripada kecuaian para pengguna atau
ketidakprihatinan dan tiada rasa sensitif terhadap
agama Islam oleh pemilik pasaraya berkenaan yang
mempunyai rangkaian pasaraya mereka di seluruh
Malaysia atau mungkin tiada garispanduan pengiklanan
yang ditetapkan dalam hal ini oleh pihak berkuasa
tempatan atau pihak kerajaan ?

Walau apapun alasannya setiap mereka yang sedar akan
perkara ini haruslah memberi peringatan kepada mereka
yang berkenaan dengan cara yang terbaik. Sejajar
dengan saranan Rasul saw iaitu kita hendaklah
melakukannya dengan tangan kalau, tiada upaya dengan
mulut (atau penulisan) atau jika tiada upaya juga
haruslah kita sekurang-kurangnya bantah didalam hati
kecil ini. Akan tetapi sekiranya kita merasakan ianya
tidak perlu apa-apa tindakan yang harus diambil ,
kerana mungkin ianya bukan urusan kita , barangkali
lama kelamaan bukan hanya beberapa troli sahaja yang
akan ditempelkan dengan iklan-iklan arak, mungkin juga
ianya akan ditampal pada semua troli dan disepanjang
tahun, bukan hanya pada musim-musim perayaan tertentu.

Sedangkan peraturan penjualan arak sekarang ini yang
mana memerlukan ruangan khas yang terasing daripada
minuman yang bukan arak tidak begitu dipatuhi ( apa
ketidaknya apabila pintu masuk utama ke pasaraya
berkenaan dihiasi seperti menara kotak-kotak arak yang
pelbagai jenama) , maka sudah pastilah untuk
mengasingkan troli-troli yang tiada iklan arak untuk
penggunaan orang Islam tidak akan diambil sebagai satu
peraturan yang perlu dipatuhi oleh para pengusaha
pasaraya.

Pengiklanan arak oleh orang Islam yang berlaku seperti
apa yang dinyatakan ini mungkin juga seperti apa yang
kita dengar "Umpama Mendapat Dosa Kering" atau "Dosa
Percuma".

(Dilampirkan gambar iklan arak jenama SKOL yang
terdapat pada beberapa troli di Pasaraya Giant
Senawang pada bulan Disember 2004)

No comments: