Thursday, June 23, 2005

rtikel: Nasihat dan pesanan oleh Saudara Hazman Kepada pelajar-pelajar Sains Komputer

Bagi adik-adik yang sedar akan pentingnya kita mula berdikari, saya ucapkan tahniah dan terima kasih kerana memahami. Bangsa Melayu, yang merupakan majoriti pengunjung xxxx.xxx (address laman web tersebut dirahsiakan atas sebab-sebab tertentu -Azri), masih merupakan satu bangsa yang ketinggalan di belakang dari semua segi. Dan salah satu sebabnya kita terlalu banyak berehat dan bermain. Semuanya nak tunggu orang suap.

Bila dapat assignment, terus cari kawan untuk copy. Tak sanggup bersusah-payah buat sendiri. Bila tak faham sesuatu, berkejar mencari pensyarah untuk bertanya. Tak tahu cari bahan dan baca sendiri.

Saya di sini, project manager (orang putih) saya menggelar saya "Our C++ Guru". Alhamdulillah, saya bangga dengan recognition yang saya dapat. Sekurang-kurangnya saya tahu bahawa saya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah, walaupun saya orang Melayu yang berkelulusan universiti tempatan.

Alhamdulillah, boss saya juga menghormati saya. Saya tidak pernah menghadapi masalah untuk menunaikan solat walaupun saya berada di tanah orang. Di Malaysia dulu, boss saya pernah menghalang saya dari melakukan solat kerana ia 'mengganggu business'. Boss saya sanggup menukar waktu meeting kerana saya terpaksa pergi solat Jumaat setiap minggu.

Saya juga dapat meluangkan masa yang maksimum bersama keluarga. Saya pergi kerja hampir 9.00 pagi, dan pulang 3-4 petang. Rumah saya yang berharga RM4,000 sebulan, berada cuma 5 minit dari pejabat saya. Waktu tengahari, saya balik makan nasi dan bermain-main bersama anak. Kerja saya bagaikan satu percutian.

Bagaimana dengan anda? Apa yang anda ingini setelah bekerja kelak. Adakah anda ingin menjadi seorang 'kuli totok' yang bekerja seperti robot di bawah kawalan boss anda? Ada orang kata kalau nak buat duit banyak, kita akan hilang masa, hilang agama. Saya tidak percayakannya langsung. Ia bergantung kepada kebolehan seseorang itu sendiri. Jika dia mempunyai sesuatu yang orang lain tidak tahu, maka insyaAllah dia boleh mendapat karier yang fleksible dan mudah di samping gaji yang lumayan.

Soalnya sekarang, adakah anda mempunyai 'sesuatu yang orang lain tidak tahu' atau tidak? Jika anda seperti kebanyakan pelajar, anda tidak mempunyainya. Anda hanya mengikut stream pelajar-pelajar lain. Apa orang buat, anda ikut. Kalau ada paper yang orang tak ambil sebab susah, anda pun ikut sama. Tidakkah anda terfikir bahawa bila keluar nanti, anda akan menghadapi persaingan yang amat sengit? Bukan anda seorang saja graduan IT di Malaysia. Beribu-ribu yang keluar setahun.

Jika anda mempunyai skill dan kepandaian yang sama dengan orang lain, maka persaingan anda lebih sengit. Sebaliknya, jika anda mempunyai kelebihan tersendiri, maka anda berdiri atas platform yang lebih tinggi dari orang lain. Lebih penting lagi, dalam jangkamasa panjang, anda lebih berpotensi untuk naik ke atas, sementara kawan-kawan anda tepu di situ saja.

Masa depan anda bukan di tangan orang lain. Bukan di tangan pensyarah anda, dan sekali-sekali bukan di tangan orang yang tidak anda kenali seperti saya. Ia juga bukan di tangan kerajaan. **Anda** harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap masa depan anda sendiri.

Ketika saya student dulu, saya tidak mengikut jejak-langkah majoriti. Meskipun dari segi akademik, saya hanya mampu mendapat average C saja, tetapi saya berbangga bahawa saya tidak berdiri atas kaki orang lain untuk belajar. Banyak perkara yang tidak saya fahami, tetapi saya berusaha untuk membaca sendiri dan mencubanya di komputer. Saya akan terus berusaha sehinggalah saya betul-betul memahaminya. Ada kalanya orang rasakan pelik kerana melihat saya membaca buku ketika makan di kantin atau menggunting rambut; tetapi kita semua hanya mempunyai 24 jam sehari, tidak lebih dari itu.

Anda mungkin merasakan saya seorang 'ulat buku' yang hidup di dalam perpustakaan. Itu tidak benar, malah saya hampir tidak pernah mengunjungi perpustakaan... kerana ia menyebabkan saya tension melihat mat-mat study yang bersengkang mata di situ. Sebenarnya, di samping belajar di universiti tersebut, saya menjalankan perniagaan sendiri untuk menampung perbelanjaan. Perniagaan ini mengambil banyak masa saya, melebihi masa saya belajar. Saya terpaksa mencuri masa untuk belajar.

Namun, bagaimana saya boleh menjadi seorang programmer yang berkaliber? Saya *tidak* membuang masa saya dengan menghafal terlalu banyak. Saya juga *tidak* membuang masa saya dengan group-discussion. Apa-apa pengetahuan yang saya ada, saya cuba implementasikan terus di dalam komputer. Saya banyak menulis program-program.

Malah, semenjak saya tahun pertama lagi saya sudah menulis program secara profesional (dibayar upah). Apa yang saya tahu sebagai pelajar tahun pertama? Tidak banyak, tetapi ia sudah cukup baik untuk menulis sebuah program ringkas untuk kegunaan pihak Hal Ehwal Pelajar universiti tersebut. Saya masih ingat upah RM300 yang saya terima. Cukup besar dan bermakna ketika itu, especially kerana saya tidak balik ke kampung untuk cuti semester kerana menulis program tersebut.

Ketika pensyarah mengedarkan assignment, perkara mula-mula yang saya buat ialah membaca soalan assignment tersebut. Terus baca. Sudah pasti saya tidak dapat menyelesaikannya sekaligus, tetapi bila-bila masa kelapangan, saya berfikir tentang cara untuk menyelesaikannya. Ertinya, saya menyelesaikannya terus-menerus, sedikit demi sedikit.

Saya tahu, kebanyakan anda tidak buat begini. Anda simpan assignment tersebut. Tiba masanya anda keluarkan dan cuba menyelesaikan semuanya serentak. Jika ini yang anda buat, maka tidak hairanlah anda menghadapi masalah untuk menyelesaikannya -- anda meletakkan pressure kepada minda anda, dan minda anda belum mampu untuk berfikir dengan begitu cepat. Akhir sekali, assignment itu tidak berhasil dan anda berakhir dengan menyalin hasil kerja orang lain atau meletakkan soalan anda di buletin xxxx.xxx (Dirahsiakan -Azri) ini.

Sememangnya kita mesti berusaha untuk berdiri atas kaki sendiri dengan banyak melakukan research. Namun, masalah yang kerap timbul ialah tiadanya kefahaman dalam Bahasa Inggeris.

Realitinya, mereka yang tidak menguasai BI terletak jauh di belakang mereka yang mampu menguasai BI. Mengapa? Kerana hampir kesemua resource IT adalah dalam BI. Malahan, tajuk-tajuk yang advanced hampir tiada diceritakan dalam BM.

Jika anda tidak tahu BI, anda ketinggalan ini semua. Padahal konsep-konsep yang ingin disampaikan tidaklah sesusah mana. (Kalau orang lain boleh memikirnya, mengapa tidak anda?). Ia menjadi susah kerana anda terpaksa melakukan 2 kerja -- memahami teks, dan pada masa yang sama menelan konsep tersebut! Mereka yang fasih dalam BI hanya melakukan 1 kerja saja sebab mereka sudah faham teks. Jadi tenaga fikiran mereka boleh ditumpukan kepada pemahaman konsep dan fakta.

Masyarakat kita sering melaungkan Cintai Bahasa Kita. Namun bagi saya sendiri, ada kalaya kita terlalu fanatik terhadap slogan yang mudah ini sehingga memandang negatif terhadap BI, seolah-olah menggunakannya merupakan satu penjajahan simbolik.

Mempelajari dan menggunakan BI tidak patut dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Dunia ini kian kecil dan bercampur. Jika anda sendiri tidak bersedia untuk globalisasi ini, bagaimana anda rasakan negara kita boleh meletakkan dirinya sebagai masyarakat dunia?

Bangsa Melayu masih banyak ketinggalan dalam segala bidang yang memerlukan intelektualiti. Kalau bidang yang memerlukan cakap banyak, sembang kosong dan berpolitik, orang Melayu memang nombor satu.

Tetapi dalam bidang yang memerlukan usaha sebenar ... sorry, anda perlu hadapi kenyataan bahawa bangsa kita ketinggalan. Anda mungkin tumpang berbangga dengan bangunan KLCC tertinggi di dunia, anda mungkin tumpang berbangga kerana negara kita ada kereta sendiri. Anda mungkin menyangka negara Malaysia menjadi sebutan dan perhatian dunia ... bull***T!

Anda perlu bandingkan diri anda dengan masyarakat global, bukannya masyarakat sekampung. Jika anda boleh berdiri sama tinggi, barulah anda wajar berbangga. Kalau setakat menjadi jaguh kampung, anda masih belum berada di mana-mana. Perjalanan anda masih jauh, saudara-saudari sekalian.

Jika anda pernah keluar dari negara Malaysia yang sekecil tempurung itu, anda akan nampak bahawa kejayaan-kejayaan yang kita perolehi tidak sebesar zarah pun bila dibandingkan dengan kejayaan-kejayaan yang telah diperolehi oleh negara-negara maju. Walaupun Amerika Syarikat tidak mempunyai bangunan tertinggi di dunia, tetapi mereka mempunyai beribu-ribu lagi bangunan yang mencakar langit. Di Jepun, kereta 'ciptaan tempatan' sudah tidak menjadi satu kebanggaan patriotik lagi -- banyak bertabur-tabur.

Saya setuju bahawa kita wajar mengambil sedikit credit dari kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita, apa lagi memandangkan negara-negara jiran yang lain masih tidak cukup beras. Tetapi cukupkan ini sebagai asas perbandingan kita? Membandingkan Malaysia dengan negara-negara seperti Indonesia, Vietnam dan Somalia? Perbandingan ini tidak adil kerana rakyat Malaysia tidak berada di dalam opresi atau kemiskinan, maka rakyat Malaysia berkemampuan untuk maju.

Namun satu kelemahan kita ialah terlalu cepat lupa diri. Kejayaan ialah sesuatu yang perlu dikejar secara berterusan. Anda lulus SPM -- tetapi di hadapan anda masih ada ijazah untuk dikejar. Anda dapat ijazah, tetapi di hadapan anda masih terdapat karier untuk dikejar. Pada masa yang saya, anda juga ingin mengejar kejayaan akhirat.

Kejayaan bukan macam tangkap gambar -- bila sudah siap, boleh masuk frame dan tayang di dinding. Walaupun anda sudah berjaya pada satu tahap, anda tidak boleh tidur. Jangan jadi seperti arnab dan kura-kura.

Katakan anda merupakan satu-satunya anak kampung anda yang berjaya masuk ke universiti. Tahniah dan anda memang patut berbangga atas kejayaan ini. Tetapi adakah matlamat anda tamat di situ -- sekadar masuk universiti saja? Sedarkah anda perjalanan anda sebenarnya baru saja bermula? Ia bukan sudah berakhir, tetapi baru saja nak start.

Kata orang, "work smart, don't work hard". Fikir-fikirkanlah masa depan anda.

- Ditulis oleh Saudara Hazman.
- Saudara Hazman atau juga dikenali sebagai "Tukang taip" bertugas sebagai consultant programmer di Ann Arbor, Michigan, USA. Berpengalaman 5 tahun dalam Visual C++ dan kini menjurusi bidang Visual Basic.


p/s:artikel ini Ahmad cilok dari http://azri.free.fr/nasihat.php

No comments: