Wednesday, August 17, 2005

Dihina guru kerana miskin, berapa ramai lagi yang
kena?

GURU menghina murid kerana miskin? Adakah guru
sebegitu?

AZLI*, 37, sudah berjaya sekarang. Lulusan accauntancy
yang kini ada perniagaan sendiri. Datang daripada
keluarga miskin, bapa empat anak ini menganggap
segala susah payahnya dulu suatu kemanisan yang
sentiasa kekal dalam lipatan sejarahnya. Tetapi dia
tidak dapat melupakan suatu peristiwa, kisah antaranya
dan seorang guru.

"Saya susah nak melupakan kata-kata hinaan dia pada
saya. Kebencian pada guru itu tidak pernah pudar walau
sudah lama ia berlalu."

Cerita ini ikhtibar buat guru-guru semua. Bukan semua
guru begitu, ada juga yang berhati mulia dan mendidik
murid melebihi anak sendiri. Kita harap begitulah...


KELUARGA saya miskin. Pakaian sekolah memang tidak
pernah berganti dan sehelai itulah dipakai sampai
koyak, bertampal dan sendat di badan. Miskinnya saya,
duit belanja tidak pernah ada dan memang sentiasa
berlapar di sekolah. Balik rumah pun belum tentu ada
makanan. Kalau dapat makan bubur sudah kira baik.
Tetapi walau miskin semangat belajar tidak pernah
luntur, semua adik beradik saya pun begitu. Abang saya
walau terpaksa berhenti sekolah ketika darjah enam
tetapi tegas mahu adik-adiknya menamatkan pelajaran.
Kami rajin belajar walau nak beli sebatang pensil pun
tidak mampu. Kadang-kadang saya kutip pensil-pensil
patah yang budak-budak lain buang, asah kembali dan
saya gunakan walau pendeknya sudah tinggal seinci.
Memang banyak pensil-pensil pendek ini saya kumpul.

Waktu itu bukan saya seorang saja yang susah, ramai
lagi. Ada yang lebih susah hingga berkaki ayam ke
kelas. Buku pinjaman susah nak dapat, tak tahu kenapa.
Mungkin kerana mereka pilih yang paling papa antara
kami. Jadi saya pastikan tumpukan pelajaran waktu guru
mengajar, tak ada pun buku tambahan lain. Tetapi saya
berjaya juga dapat 5A dalam peperiksaan penilaian
darjah lima yang kemudiannya melayakkan saya masuk
sekolah asrama penuh. Itu semua kenangan susah payah
saya waktu kecil untuk berjaya seperti sekarang.
Semuanya memang perit tetapi menjadi manis sebab saya
usaha dengan kudrat sendiri untuk mencapai kejayaan.
Semuanya jadi kenangan manis kecuali satu.

Cikgu Nazim* suka menghina kami yang miskin. Entahlah,
sekarang saya cuba positif dan menganggap itu cara dia
motivasi kami. Tetapi dia memang benci dan jijik pada
kami yang katanya pengotor semata-mata kerana baju
kami sudah terlalu lusuh dan kekuningan. Cikgu Nazim
bukan hanya menghina kami tetapi juga ibu bapa kami.
Dia pernah membuat contoh ayat yang menggunakan bapa
atau ibu kami sebagai perumpamaan. 'Ayah Azli hidup
merempat kerana malas. Dia tidak malu menyusahkan
orang meminjam sana sini'. Itu contoh ayat yang pernah
dia gunakan untuk ayah saya. Waktu itu saya darjah
lima. Satu lagi 'Baju Azli dan Mat* kuning kerana
emaknya malas basuh!'.

Cikgu tu orang beradakah?
Waktu itu kita melihat dia orang yang lebih besar
daripada kita. Dia berkereta dan tinggal di rumah
batu. Saya tahu rumahnya, hari-hari saya melaluinya.
Tetapi bila dikenang sekarang, dia bukanlah orang kaya
benar, tahap sederhana saja. Saya dapat tahu beberapa
tahun kemudian, sikap cikgu ini tidak disukai oleh
guru-guru lain.
Saya menangis sepanjang perjalanan balik ke rumah dan
rasa malu sangat pada kawan. Bukan malu kerana
kemiskinan tetapi kerana dimalukan demikian rupa,
dihina depan seluruh kelas oleh guru yang saya pandang
tinggi kerana jawatannya. Patutlah waktu itu semua
kawan-kawan terdiam dan terus memandang ke arah saya.
Kawan-kawan pun tidak suka saya dihina begitu. Ada
banyak lagi kata-kata hinaannya kepada kami yang
miskin. Dia selalu panggil kamu 'busuk' (kerana baju
lusuh dan kuning).

Saya hairan kenapa Cikgu Nazim boleh bercakap begitu
sedangkan dia seorang guru? Saya harap tidak ada lagi
guru seperti itu pada zaman ini. Apabila mendapati ada
murid miskin dalam sekolah guru sepatutnya membantu
dan membuatkan pelajar tidak rasa tersisih dan dapat
belajar seperti budak-budak lain.

Mungkin ada kebenaran yang itu cara dia motivasi
budak-budak miskin supaya lebih cekal...
Positifnya kita harap begitu tetapi itu bukanlah cara
yang betul. Apabila kita menerima hinaan kita mungkin
boleh bangun dan jadi lebih tekad lagi tetapi apabila
kita menerima kebencian, daripada guru kita sendiri,
pada tahap usia bawah 12 tahun begitu, saya rasa bukan
semua budak-budak kuat. Saya pun hampir kandas.


Macam mana Azli boleh kuat?
Arwah ayah banyak melembutkan hati saya. Apabila saya
mengadu dia selalu kata 'yang ada masalah bukan kita
tetapi dia'. Sebab kita miskin tetapi tidak pun minta
duit dia. Ayah buat kerja sampingan potong rumput dan
saya pernah dengar ayah cerita pada emak, cikgu tu
kata kalau tak cukup nasi nak makan, makan saja rumput
tu! Tetapi ayah gelakkan saja.

Semangat ayah kuat dan dia selalu kata telinganya dah
lali mendengar hinaan. Ayah buat kerja apa saja, dia
bukan malas tetapi kemiskinan sudah menjadi pemula
hidupnya. Sebab kerja kuat ayah mati muda saya rasa...

Pernah Azli jumpa cikgu tu?
Saya tak tahu sama ada dia masih hidup. Lebih kurang
lima tahun lepas ada saya terserempak dengannya di
pasar malam, bulan Ramadan. Saya bersalam dengannya
dan cuba ingatkan dia nama saya. Dia sudah tua betul
dan kami bermaaf-maafan.

Kenapa Azli minta maaf pula?
Sebab saya menyimpan benci yang teramat padanya. Jadi
saya mohon maaf. Dia minta maaf daripada saya, tak
tahu sebab apa. Tetapi apa yang terjadi sukar saya lupa.

p/s:kita kena beriman dengan Ayat ALLAH. kasihkan orang miskin.

No comments: