Thursday, July 20, 2006

Aku anak Super Man

Sebahagian besar kanak-kanak di dunia pernah memasang angan-angan menjadi hebat seperti superman. Aku lain, aku mahu jadi Super Man.

Arwah bapak aku adalah Super Man. Arwah seorang yang ceria dan suka tolong orang. Ketika dia hidup, jiran dan kawan-kawannya selalu datang ke rumahnya untuk minta tolong darinya. Di poketnya sentiasa ada kotak rokok. Dia hanya simpan dan sengaja tayangkan rokok itu pada orang. Katanya, itu cara untuk merapatkan hubungan antara kawan.

Pada hari terakhir arwah hidup. Bas yang dipandunya putus brek. Ketika itu dia hanya ada 2 pilihan. Samada masuk ke dalam gaung ataupun merempuh penghalang jalan. Dia memilih merempuh penghalang jalan kerana sekiranya dia memilih gaung, semua yang ada di dalam bas pasti mati. Memilih merempuh penghalang jalan sekurang-kurangya dapat mengurangkan jumlah kematian. Namun pilihan merempuh penghalang jalan adalah pilihan yang paling memeritkan kerana dia perlu mengawal bas di bahagian hadapan dan maut pasti menunggunya.

Dia sempat menjerit kepada semua penumpang supaya berganjak ke belakang bas. Dia tekad mahu selamatkan banyak nyawa semampu mungkin. Ketika itu, hanya dia sahaja yang berada di hadapan mengawal bas. Hasil dari itu, beberapa penumpang terselamat. Penumpang itulah yang menceritakan sifat Super Man ayah aku. Kejadian itu berlaku pada bulan Syawal,tahun 1990 di Karak Highway.

Selepas arwah meninggal. Barulah aku sekeluarga tahu… dia juga adalah penyumbang tetap bagi persatuan orang buta Malaysia. Walaupun masa hidupnya dia hanyalah seorang pemandu bas ekspres.

Kisah ayah aku telah dinovelkan, masuk berita perdana, masuk majalah, juga masuk dalam rencana Majalah 3. Bukan setakat dalam negara, malah tersebar di seluruh asia hingga ke Jepun. Namun, berapa keratkah yang masih ingat dengan Azis bin Razak?

Baru-baru ini aku jatuh sakit. Pagi sebelum aku jatuh sakit, berulang kali aku berdoa pada Tuhan supaya aku menjadi Super Man. Bukan pertama kali aku berdoa sedemikian rupa, cuma kali ini lebih panjang dan penuh harap.

Petangnya kepala aku pening. Tekak aku loya-loya. Malamnya perut aku sakit. Aku tahu, bapak aku pernah sakit dan aku masih tidak putus asa untuk jadi Super Man seperti dia. Banyak lagi sejarah terpuji dirinya yang tidak diceritakan. Aku bangga jadi anak Azis bin Razak!

Al- Fatihah untu Azis bin Razak, The Real Super Man.

by Alif Style, (http://www.cartoonrama.com)
silalah beli komik terbaru beliau.

No comments: