Sunday, May 27, 2007

Bapak aku pandai menulis rupanya hehe...
(Alhamdulillah kritik sosial ini berjaya menyedarkan mereka, kini gaji pekerja anak yatim mulai di bayar, tahniah Papa!)

NGO Malaysia perlu bersatu salur bantuan

Oleh Abu Dhuat (Harian Metro 15 Mei 2007)

SEJAK tsunami melanda Aceh pada 26 Disember 2004, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan Malaysia tampil membantu. Dengan menahan bau busuk di atas timbunan mayat yang bergelimpangan, mereka menabur bakti tanpa mengira penat dan lelah.

Dengan ikhlas mereka menghulur bakti membantu mangsa tsunami. Antara NGO dan sukarelawan Malaysia terawal datang menghulur bantuan ialah Aman Malaysia, Global Peace dan Mercy.

Kesannya terhadap mangsa bencana agak ketara. Mereka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia kerana tidak melupakan mereka ketika dalam kesedihan.

NGO terbabit menyediakan kepakaran dalam perubatan, prasarana dan kaunseling. Sebagaimana yang kita ketahui, akibat dugaan Allah s.w.t. yang berat ini, ramai anak menjadi yatim, ibu menjadi janda, bapa pula menjadi duda.

Abang pula kehilangan adik, cucu kehilangan datuk dan berbagai-bagai lagi. Trauma yang mereka hadapi dan alami, hanya Allah s.w.t. yang tahu.

Ada mangsa yang curiga dengan bantuan NGO bukan Islam dari negara Barat kerana dikhuatiri anak Aceh akan dipesongkan akidah mereka.

Sebelum adanya arahan tidak membenarkan anak yatim dikeluarkan dari Aceh, ramai anak yatim ditempatkan di rumah bakti yang tidak bercirikan Islam.

Keadaan ini turut membimbangkan masyarakat Aceh, termasuk beberapa NGO dari Malaysia.

Menyedari hakikat yang mereka boleh membantu, dengan kerjasama Konsul Besar Malaysia di Medan yang ketika itu disandang Yusoff Bakar, beberapa badan dan NGO seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), kerajaan negeri Johor, dan Melaka, Yayasan Al Nur dan Yayasan Sinar ikut serta dalam mewujudkan yayasan anak yatim di Aceh.

Ada juga hartawan dari Malaysia yang datang membantu beberapa pesantren di sekitar Banda Aceh.

Yapeim menubuhkan Yayasan Antarabangsa bagi menempatkan anak yatim perempuan. Kerajaan Johor pula mendirikan sebuah bangunan di atas tanah sumbangan warga Aceh dan menempatkan 40 anak yatim lelaki.

Kerajaan Melaka mendirikan sebuah bangunan rumah anak yatim di atas tanah sumbangan warga tempatan manakala Yayasan Al Nur menempatkan 15 anak yatim lelaki dan Yayasan Sinar menempatkan enam anak yatim perempuan.

Bendera Malaysia dan Indonesia berkibar beriringan di rumah yayasan ini. Bagaimanapun, dari segi bantuan kewangan, berbanding dengan sumbangan negara Islam lain, Turki contohnya, sumbangan NGO dari Malaysia mungkin tersangat kecil nilainya.

Tetapi ia amat bererti dari segi kemanusiaan dan kejiranan. Namun, di sebalik kegigihan pelbagai pihak dari negara ini, ada juga individu yang bergerak atas nama NGO sanggup mengambil kesempatan menangguk di air keruh.

Teringat sebelum awal penubuhan Yayasan Antarabangsa apabila penulis dipanggil untuk menghadiri mesyuarat penubuhannya di ibu pejabat Yapeim di Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Konsul Besar Malaysia di Medan dan Ketua Pengarah Yapeim, Dr Abd Malek Awang Kechil.

Antara yang hadir adalah wakil kerajaan negeri Johor, pengerusi Yayasan Sinar Malaysia, wakil Yayasan Terengganu, bank tempatan dan Universiti Islam Antarabangsa.

Antara topik yang bincangkan ialah bentuk bantuan kepada anak yatim. Untuk itu, mesyuarat membincangkan syor menubuhkan satu yayasan induk bagi dianggotai semua yayasan yang hadir.

Ketika itu, hanya Yayasan Sinar yang sudah bertapak di Banda Aceh dengan menyewa sebuah rumah untuk menempatkan enam anak yatim perempuan dan diuruskan seorang ibu asrama tempatan.

Bagaimanapun, mesyuarat itu gagal mencapai matlamatnya, antara punca kegagalan ialah walaupun Yapeim berjaya menubuhkan Yayasan Antarabangsa di Aceh, anggotanya bukan terdiri daripada badan dan NGO yang hadir, tetapi orang perseorangan yang berminat membantu rakyat Aceh.

Bantuan berterusan kepada anak yatim juga sukar dipantau kerana masing-masing mempunyai cara dan agenda yang tersendiri.

Kerajaan Johor dan Melaka pula masing-masing meneruskan pembinaan rumah anak yatim di atas tanah yang dihibahkan oleh masyarakat tempatan. Johor mendirikan Yayasan Anak Yatim Aceh dan Melaka dengan Rumah Anak Yatim Melaka Tsunami Aceh.

Dalam rangka lawatan ke Aceh baru-baru ini, penulis diajak seorang teman untuk melawat rumah anak yatim Melaka. Rumah anak yatim ini didirikan kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama Sekretariat Melayu Dunia Islam (SMDI), Gerakan Belia 4B Malaysia, Komite Nasional Pemuda Indonesia (KPNI) Aceh dan World Assembly of Youth (WAY).

Bangunan tersergam tiga tingkat di Desa Punie Mata’ie Darul Imarah, Banda Aceh itu dihuni 18 anak yatim lelaki. Rumah yang boleh menampung 100 penghuni ini dulunya pernah mengambil 25 anak yatim dari beberapa daerah di Aceh.

Malangnya rumah yang mempunyai ruang belajar, ruang makan dan tempat tidur yang selesa ini bukan saja kurang penghuni, malah tidak mempunyai pengurus.

Pengurus yang ditugaskan tidak lagi berkhidmat di sini sejak 6 April lalu. Apa yang menyedihkan, empat kakitangan yang bertugas tidak dibayar gaji sejak tiga bulan lalu dan sewa bas sekolah anak juga tertunggak untuk tempoh yang sama.

Kini pemandu bas yayasan bertindak sebagai pengurus. Kali terakhir dia mendapat wang daripada pengurus lama ialah 15 April lalu sebanyak rp2 juta (RM760).

Wang sebanyak ini bukan saja tidak mencukupi untuk membayar gaji pekerja, malah tidak mampu menampung makanan anak bagi satu bulan. Untuk menampung keperluan asas minimum, yayasan memerlukan dana sekitar RM160 setiap anak yatim sebulan.

Untuk 18 orang anak yatim, biaya yang diperlukan adalah RM3,000 setiap bulan. Kekurangan sebelum ini sering ditampung oleh pemberian masyarakat setempat.

Dengan bendera Malaysia yang berkibar di Yayasan ini, di manakah letaknya harga diri kita? Andaian penulis, kemungkinan sumbangan diberhentikan kerajaan Melaka adalah tipis. Dalam hal ini, mungkin berlaku penyelewengan yang harus diselidiki dengan terperinci. Beberapa faktor berikut mungkin menyumbang kepada keadaan ini. Pertama, wakil kerajaan Melaka hanya berkunjung ke yayasan itu sekali dalam masa tiga bulan.

Selain itu, yayasan belum mendapat izin untuk melaksanakan kegiatannya daripada pemerintah Indonesia dan sekarang bergerak tidak mengikut undang-undang. Disebabkan faktor ini, akaun bank tidak dapat dibuka atas nama yayasan. Sumbangan selama ini dibuat atas nama peribadi (pengurus) dan penama berkenaan tidak lagi bertugas di yayasan.

Untuk memastikan perkara itu tidak berulang dan berterusan, sudah tiba masanya semua NGO Malaysia yang mendirikan yayasan di Aceh bergerak di bawah satu payung.

Dengan bergabung semua yayasan itu, pemantauan yang rapi dapat dilakukan agar segala bentuk penyelewengan dapat dielakkan.

No comments: