Monday, June 11, 2007

Berikut adalah "sebahagian" dari artikel yang ana (copy TANPA izin) ingin ana kongsikan bersama...

Moga bermanfaat.

Artikel yang menarik!




Ingin kami kongsikan di sini, ijtihad dan fatwa bukanlah kemahiran yang boleh dicapai dalam sehari dua. Ia adalah proses yang panjang dan tidak mudah. Ibnu Solah, seorang ulama’ hadis yang terkenal pernah ditanya adakah Imam al-Juwaini, Imam al-Ghazali, Imam Abu Ishak sampai ke peringkat ijtihad mutlak atau pun tidak? Beliau menjawab: “Mereka tidak sampai ke peringkat ijtihad mutlak. Sebaliknya mereka hanya sampai ke peringkat ijtihad muqayyad di dalam mazhab Syafie. Ijtihad mutlak adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mampu mengeluarkan hukum syarak dari dalilnya tanpa taqlid. Ijtihad muqayyad adalah satu tahap yang dicapai jika seseorang itu mahir di dalam satu-satu mazhab mana-mana imam sehingga dia mampu untuk mengeluarkan hukum terhadap sesuatu yang tidak disebut oleh imam itu setelah dikiaskan dengan hukum yang disebut oleh imam itu berdasarkan kaedah dan usul mazhab imam tersebut.”

Dari kata-kata beliau kita dapat fahami kesukaran untuk menjadi seorang mujtahid. Itu juga adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal ketika beliau berkata: “Tidak seharusnya seseorang itu mengeluarkan fatwa sehinggalah dia memiliki lima perkara: Hendaklah dia mempunyai niat (ikhlas) kerana jika dia tidak berniat, dia tidak akan mendapat petunjuk dan kata-katanya juga tidak akan mendapat petunjuk. Dia hendaklah berilmu, lembut dan tenang. Dia hendaklah mempunyai kekuatan terhadap masalah fatwanya dan mempunyai ilmu terhadap masalah tersebut. Dia hendaklah mempunyai kemampuan jika tidak dia akan diperdaya oleh manusia. Dia hendaklah mengenali manusia.”

Kesukaran berfatwa dan ijtihad inilah sebenarnya yang membenarkan taqlid kepada mana-mana mazhab dipraktikkan di dalam umat hari ini. Bahkan amalan taqlid itu juga sebenarnya dipraktikkan oleh generasi umat sebelum ini.

Al-Amidi di dalam kitab al-Ihkam berkata: “Ada pun ijma’ terhadap masalah ini adalah kerana orang awam di zaman sahabat r.a. dan tabi’ien terus menerus bertanyakan fatwa dari kalangan mujtahid dan mengikut pendapat mereka di dalam permasalahan hukum syara’. Ulama’ di kalangan mereka bersegera menjawab segala pertanyaan tanpa mendatangkan dalil. Ini adalah ijma’ bahawa seorang awam harus bertaqlid kepada seorang mujtahid mutlak.”

Penduduk dua tanah haram mempraktikkan mazhab Abdullah bin Omar r.a. dan anak muridnya untuk satu tempoh yang panjang tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu. Seterusnya Ato’ bin Robah dan Mujahid memberi fatwa kepada penduduk Mekah untuk satu tempoh yang panjang. Wakil khalifah pada masa itu melaungkan: “Tidak ada seorang pun yang akan berfatwa kepada orang ramai selain dari dua orang imam ini.” Keadaan tersebut berjalan tanpa dibantah oleh mana-mana ulama’ pada zaman itu.

Imam Ibnu al-Qayyim, anak murid Ibnu Taimiyah, seorang ulama’ yang menjadi rujukan golongan ini berkata: “Harus bertaqlid bagi seseorang yang belum sampai ke peringkat ijtihad. Dia hendaklah mengikuti seorang imam, meminta petunjuk darinya dan bertaqlid kepadanya di dalam masalah halal dan haram. Orang seperti ini tidak boleh mengeluarkan fatwa kepada manusia walau pun dia mempunyai banyak kitab hadis.”

Ini adalah pendapat yang tepat. Pendekatan memaksa umat Islam; yang cerdik dan tidak cerdik untuk merujuk terus kepada al-Quran dan hadis adalah satu bebanan yang tidak perlu ditanggung oleh umat. Bagaimana mampu rakyat Malaysia mengeluarkan hukum untuk amalan dirinya sendiri secara langsung dari al-Quran dan hadis sedangkan dia masih lagi tidak mampu untuk membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan membaca hadis dengan baris yang betul?

Untuk bacaan lanjut, sila ke

http://satuperkongsian.wordpress.com (blog Ustaz Fauzi)

No comments: