Wednesday, October 27, 2004

Ada satu kotak kosong!

ADA SATU KOTAK KOSONG !



Ada satu kotak kosong di satu sudut rumah, besar dan kau boleh muat masuk ke dalamnya. Aku buat keputusan untuk tinggal disitu menjadikan dia tempat aku, wilayah aku. Aku letakkan satu biji bantal untuk aku tidur, satu papan lukisan untuk aku melukis dan sebatang pensel untuk aku menulis. Aku masih ada rumah, tetapi aku mahu tinggal dalam kotak kertas ini. Aku masuk ke dalam kotak itu setiap hari. Aku menyanyi dan berpuisi seperti orang gila, kerana aku begitu bahagia. Kotak ini tempat aku.



Aku keluar dari kotak, aku duduk di dalam rumah aku. Penghuni rumah ini boleh lihat aku, boleh pegang kepala aku kerana aku bukan halimunan, aku wujud. Tak percaya, cuba tengok aku minum air, tidak ada yang tumpah atas lantai, semua masuk dalam tekak dan perut. Tengok aku tolak-tolak kepala kawan aku ini, kepala dia bergoncang, dia marah agaknya . Dia sepak kaki aku dari tepi. Terduduk aku. Tengok.



Aku bercakap dan gelak ketawa dalam rumah ini, orang nampak dan mereka juga berkata-kata dengan aku. Mulut mereka bergerak-gerak seperti itik menyudu air. Tak, bukan. Itik mana tahu pakai sudu, itik guna paruh untuk menyudu. Itu tanggapan kita, aku tahu itik mesti marah kerana kata mulut dia seperti sudu. Cuba aku pulak kata mulut kau macam sudu. Ha, tahu pun marah.



Aku ada kucing dalam rumah aku ini, dua ekor warna coklat. Baru tadi dia gigit dagu aku. Aku nak menjerit tapi tak jadi. Logiknya, buat apa menjerit. Luka dah tertinggal dekat dagu, takkan hilang dengan menjerit. Sakit tak hilang dengan menjerit. Aku suruh dia baring telentang. Aku nak pijak perut kucing aku. Tapi, tak jadi. Sebab apa. Sebab nanti isi perut dia yang warna hijau akan tersembur kena lantai. Mana aku tahu isi perut dia hijau? Aku tahu sebab aku pernah tengok di tengah-tengah jalan dulu, kereta pompuan lipstick tebal langgar seekor kucing belang. Tak, bukan. Kucing tu tak pakai lipstick, korang dah salah faham. Dan lipstick tu warna merah jambu, bukan hijau!



Berbalik kepada kotak kertas aku.



Kotak itu harta aku, ruang yang mentakrifkan siapa aku. Entiti yang mewakili pemikiran aku. Aku ada rumah tapi aku masih mahu tinggal dalam kotak. Rumah masih tempat tinggal aku, untuk berinteraksi dengan orang, untuk pijak kucing, untuk makan itik. Tapi, aku tak boleh berpuisi dan menyanyi seperti orang gila dalam rumah aku. Aku malu, dan orang akan ketawakan aku.



Aku perlukan kotak itu untuk mendefinasikan keinginan aku, dunia aku sendiri. Dalam kotak aku, aku boleh minum menggunakan sudu (itik terasa nampak..!), aku boleh terbang, aku boleh bercakap dengan pokok kaktus. Dinding akan jadi kolam renang untuk aku, dan aku boleh makan pensil tanpa ada orang yang larang. Cuma satu yang tiada di situ, tiada kongkongan.



Aku keluar dari kotak, aku perlu lihat realiti di luar, di dalam rumah aku, di jalan raya, di dalam kedai, di universiti. Baru aku keluar kucing perut hijau aku ini sudah sibuk mahu di dukung. Aku angkat dan dia tengok muka aku. Dia cuma cakapÖ ì kesianÖ muda-muda lagi dah gilaî.



Dia kemudian terbersin dekat muka aku. Aku suruh dia baring, aku nak pijak perut dia.



24 April 2002 Nureffa

No comments: