Friday, October 07, 2005

Air gamat mampu ubati demam denggi?



Saudara Pengarang,
KETIKA negara kita berhadapan dengan wabak demam denggi, saya berasa wajib untuk berkongsi pengalaman yang mana terpulang kepada para pembaca untuk mencuba atau mungkin ada mana-mana pihak yang dapat mengkajinya.

Kali pertama saya mengalami perasaan cemas akibat penyakit `tiada ubat' ini ialah apabila anak bongsu saya mengalami demam yang amat sangat, muntah darah dua kali sebelum sampai ke HUKM. Dia muntah darah sekali lagi apabila berada di wad.

Dalam keadaan yang mencemaskan ini, saya telah berikan anak saya minum air gamat sebanyak dua sudu dan mencampurkan sedikit air gamat ke dalam air minumannya tanpa pengetahuan doktor.

Anak saya yang mulanya tidak mampu untuk minum air dengan banyak, akhirnya dapat minum dengan baik dan tidak muntah darah lagi. Adakah kerana air gamat ini? Tetapi yang pastinya anak saya dibenarkan keluar selang beberapa hari dia dimasukkan ke hospital.

Lebih kurang setahun kemudian, saya sendiri menghidap demam denggi. Tanpa pengetahuan doktor, saya juga minum air gamat. Doktor yang merawat saya berasa hairan apabila mendapati bilangan platelet saya naik sehinggakan beliau bertanya apa yang saya makan yang boleh menyebabkan platelet saya begitu. Saya pasti hanya air gamat dan makanan hospital sajalah yang menjadi makanan saya selama menerima rawatan.

Ditakdirkan, besan saya pula dijangkiti demam denggi dan telah dimasukkan ke Hospital Tun Ampuan Rahimah, Klang. Ketika melawatnya di hospital saya telah bawakan air gamat. Alhamdulillah bilangan plateletnya naik seterusnya menghilangkan rasa cemas di hatinya dan keluarga.

Semasa menghadiri satu majlis perkahwinan anak seorang kawan, saya telah diberitahu bahawa kawan saya itu dimasukkan ke hospital akibat demam denggi. Saya telah mencadangkan kepada beliau untuk cuba minum air gamat.

Dia dibenarkan keluar hospital selang beberapa hari kemudian. Bilangan plateletnya yang rendah sudah naik semula.
Itulah pengalaman saya, terpulanglah kepada sesiapa yang menghidap demam denggi ini untuk mencubanya sebagai satu ikhtiar di samping mendapatkan rawatan di hospital.

Di sini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para doktor dan jururawat HUKM yang baik-baik belaka ketika merawat saya dan anak. Semoga Allah memberkati segala kebaikan tuan dan puan sekalian. - SALEHA OTHMAN, Cheras, Selangor.

No comments: