Thursday, October 06, 2005

TAKTIK ISRAEL MENGHAPUSKAN PEMIMPIN ISLAM

Israel sejak zaman-berzaman menggunakan pelbagai
kaedah untuk menghapuskan pemimpin, sama ada pemimpin
politik Islam, pemikir & penentang mereka. Taktik yang
digunakan bergantung kepada situasi, peribadi
pemimpin, dan suasana setempat pemimpin yang mereka
ingin hapuskan.

1) Kiriman surat perangkap

Kita sudah maklum, Israel menggunakan perisik mereka
sendiri iaitu Mossad untuk mengirim surat berperangkap
ini. Surat perangkap ini mengandungi bom, yang apabila
dibuka akan meletup. Telah ramai pemimpin Islam yang
terkena perangkap ini. Antara yang terawal, tika tahun
50-an, Mustafa Hafiz yang pergi bertemu Jamal Abdul
Nasir pada Jun 1956 di Gaza, akhirnya beliau
ditangkap. Selain itu, Bassam Abu Syarif, jurucakap
rasmi bagi Barisan Nasional Untuk Pembebasan Palestin
juga terkena perangkap yang sama pada 1972 di Beirut.
Begitu juga pengarah Pusat Kajian Palestin, Dr. Anis
Soyigh.

Namun tidak selamanya taktik ini berkesan. Rupanya
jerangkap membingkas memakan tuan. Pada 19 Ogos 1972,
Pengarah Mossad, Amir Syasyuri, yang ketika itu berada
di Kedutaan Israel, London turut terkena surat
mengandungi bom itu dan dia mati di tempat kejadian.

Pihak organisasi Palestin (organisasi perjuangan)
telah menggunakan banyak cara demi mengelakkan
perangkap ini membingkas lagi. Antaranya dengan
menjaga kerahsiaan peti surat, membuat daftar harian
bagi setiap surat yang masuk dari mana, bila dan apa
jenisnya serta bentuknya. Selain itu, mereka tidak
membuka surat di tempat yang ramai anggota organisasi
berada seperti di pejabat, tetapi menyerahkannya
kepada pakar pembuka surat yang lengkap dengan
peralatan untuk dibuka di tempat khas yang jauh
daripada manusia.

2) Memasang bom pada kereta

Kebanyakan pejuang kurang mengambil berat tentang
persediaan asasi dan penting untuk keselamatan kereta
walaupun mereka terdedah kepada risiko tersebut.
Daripada penulis Ghassan Kanfani di Beirut hinggalah
kepada Bassam As-Sya'kah di Tebing Barat dan selain
mereka, ramai yang telah terkena. Mungkin ini kerana
mereka tidak pernah terfikir bahawa mereka mungkin
menjadi sasaran Mossad sebab mereka tidak terlibat
dalam gerakan ketenteraan atau keselamatan, walau
bagaimanapun, pengalaman membuktikan Mossad
menyasarkan serangan kepada semua jenis golongan
rakyat Palestin sama ada wartawan, jurnalis,
sasterawan, hinggalah kepada pemimpin politik dan
tentera.

Memasang bom tidaklah sesusah mana. Cuma memerlukan
seseorang yang tahu selok belok litar elektrik kereta,
di mana-mana boleh dipasang. Di enjin, di bonet, di
but kereta, di pintu, di atas kerusi ketika duduk,
hatta pada lampu tinggi, lampu belakang dan mana-mana
lampu boleh dipasang bom. Asalkan litar elektrik dapat
disambungkan, maka terciptalah bom yang mampu
memusnahkan nyawa dan kereta!

Inilah yang berlaku kepada As-Syahid Ibrahim Banu
'Udah yang diletupkan dalam kereta kerabatnya.
Sepatutnya, beliau tidak memberikan kunci kereta
beliau untuk dibuat pendua kepada sesiapa yang tidak
dikenali agar tidak dibuat kunci pendua bagi
menceroboh kereta beliau. Penggera kereta patut
dipasang, meletakkan tanda pada pintu, but dan bonet
kereta supaya dapat mengetahui jika dibuka, selain
memastikan pintu dikunci dan dijaga. Pejuang jua perlu
memastikan tidak berlaku sebarang perubahan ganjil
pada keretanya pada waktu malam dan memeriksa bahagian
bawah kereta pada waktu pagi kerana kemungkinan besar
bom diletakkan di bawah kereta.

3) Meletupkan kereta dari jarak jauh

Teknik ini teknik yang mudah dan tidak memerlukan masa
yang banyak. Peletup cuma memerlukan alat penerima
isyarat yang dibubuh pada badan kereta dan penghantar
gelombang yang mengandungi butang peletup. Apabila
sasaran sudah tiba, butang itu hanya perlu ditekan dan
BOM! Kereta itu meletup.

Pejuang perlu memastikan agar alamat sentiasa
bertukar, telefon juga selain kereta yang digunakan.
Sebelum memakir kenderaan, pejuang juga perlu
memastikan agar tiada kereta atau orang-orang yang
mencurigakan berada di kawasan sekeliling.

4) Menembak dari jarak dekat

Sebahagian besar pejuang Palestin, yang dihapuskan
dengan teknik ini, berada di negara-negara Eropah yang
pada pandangan mereka, negara seperti ini selamat
sedangkan negara-negara Eropah mempunyai hubungan yang
erat dengan Mossad dari sudut perisikan. Hal ini
memang agak mengecewakan kerana para pejuang Palestin
tidak mengambil berat hal keselamatan masing-masing
setelah berada di negara tersebut sedangkan mereka
adalah buruan Mossad dan berada dalam senarai paling
dikehendaki dan penting dalam organisasi.

Antara yang terbunuh dengan taktik ini ialah As-Syahid
Fathy As-Syaqafi, Amin Am bagi pergerakan Jihad Islami
di Palestin yang ditembak oleh seorang komando Israel
di Malta pada tahun 1995.

5) Menyerbu rumah

Yang dihapuskan melalui cara ini adalah Kamal Nasir,
Kamal Udwan dan Abu Yusuf Najjar yang rumah mereka
diserbu komando-komando Mossad di bawah pimpinan Ehud
Barak pada 10 April 1973. Ketika serbuan berlaku di
flat yang didiami oleh ketiga-tiga mereka di jalan
Firdan, Beirut, mereka ditembak. Kawasan yang mereka
diami, tidak ramai rakyat Palestin atau rakyat Lubnan
asal, jadi mereka mudah dijadikan sasaran Mossad.
Sepatutnya, pejuang tidak berada di tempat awam
sehingga memudahkan rumah mereka dijejaki. Juga perlu
berhati-hati ketika keluar dan masuk rumah. Selain
itu, pejuang perlu memastikan jiran-jiran mereka bukan
dari kalangan perisik-perisik atau yang boleh disyaki.
Malang bagi Abu Yusuf dan sahabatnya, jiran hadapan
rumah mereka di aras yang sama adalah seorang wartawan
Amerika yang menghilangkan diri selepas serbuan
berlaku.
Taktik ini memerlukan ramai orang dan persediaan yang
cukup rapi selain maklumat yang lengkap. Jadi,
kelemahan pejuang sehingga mendedahkan maklumat
keselamatan diri sepatutnya dielakkan.

6) Meletupkan bilik

Taktik ini digunakan dengan memasang bom pada katil,
pada pintu atau pada mana-mana alat penerima isyarat
yang boleh diletupkan dari jauh. Kes seperti ini
banyak berlaku di hotel yang didiami pejuang
sebagaimana yang berlaku terhadap Doktor Mahmud
Al-Hamsyiri pada 1972 di Paris dan Majid Abu Syirar di
Rom pada 1981. Perlu diingat bahawa hotel-hotel yang
didiami khususnya di negara Eropah adalah dibawah
pengawasan polis dan rangkaian Mossad. Justeru, amat
mudah bagi Mossad untuk menyamar sebagai pekerja hotel
dan memasang bom. Pejuang seharusnya menyembunyikan
identiti masing-masing sewaktu mendiami hotel dan
berwaspada terhadap pekerja-pekerja hotel selain tidak
tinggal tetap di satu hotel sahaja.

7) Racun

Yang terkenal dengan percubaan Mossad Israel untuk
membunuh beliau dengan racun adalah Ustaz Khalid
Masy'al, Ketua Pejabat Politik bagi HAMAS namun gagal.
Tetapi mereka berjaya membunuh Wadi' Hadad, doktor
Palestin merangkap salah seorang pemimpin Barisan
Nasional Pembebasan Palestin yang mampu merangka
beberapa operasi merampas kapalterbang. Racun itu
dibubuh padanya di Baghdad, yang menyebabkan beliau
mati akibat kanser darah kronik pada 28 Mac 1973.
Khabar angin juga masih tersebar mengatakan bahawa
Yaser Arafat juga terkena jenis racun yang sama yang
membawa kematian akibat kanser darah. Hal ini boleh
dielakkan dengan berhati-hati mengambil makanan
terutamanya di tempat awam, memastikan tiada orang
asing yang masuk ke dapur, makanan hanya disediakan
oleh orang yang dipercayai seperti ahli keluarga atau
diri sendiri dan memasang kamera pengawasan ketika
tiada di rumah untuk mengelakkan orang yang tidak
dikenali masuk dan menaruh racun dalam makanan.

8) Peluru berpandu dari pesawat

Kaedah ini dilakukan terhadap Syeikh Ahmad Yasin,
pengasas gerakan HAMAS, dan Syeikh Abbas Al-Musawi,
Amin Am Hizbullah dan Abu Ali Mustafa, Amin Am Barisan
Nasional Pembebasan Palestin dan Doktor Abd Aziz
Rantisi dan ramai lagi pemimpin gerakan HAMAS. Teknik
dilakukan dengan pengesanan sasaran melalui satelit
yang menghantar maklumat dan gambar kepada pesawat
yang mengintip sasaran.

9) Meletupkan telefon bimbit

Pemimpin yang terkenal yang terkena letupan telefon
bimbit ini adalah Yahya Ayyasy, ketua Istisyhad dalam
pergerakan Kataib Qassam. Dikisahkan oleh Usamah
Hamad, sahabat rapat Yahya, bahawa 5 bulan sebelum
pembunuhannya, Yahya berlindung di rumahnya. Bapa
saudara Usamah, Kamal Hamad, orang yang mempunyai
hubungan rapat dengan perisikan Israel telah
memberikan sebuah telefon bimbit Belfone kepada Yahya
untuk digunakan. Kamal telah meminjam telefon itu
selama dua hari dan memulangkannya kepada beliau.
Sementara itu, bapa Yahya sering menghubungi Yahya
melalui telefon bimbit sedangkan beberapa kali Yahya
menyuruh bapanya menelefon menggunakan telefon rumah.

Pada Subuh hari Jumaat 5 Januari 1996, Kamal
menghubungi Usamah untuk memintanya membuka telefon
bimbit kerana beliau ingin menelefon dari Israel
kerana talian telefon rumah telah dipotong. Pada jam
9, bapa Yahya menelefon telefon bimbit tersebut serta
menyatakan bahawa tidak dapat menghubungi rumah Usamah
kerana talian telefon dipotong. Seketika kemudian,
Yahya menyambut telefon dan mengatakan, "Wahai ayah,
janganlah lagi menelefon dengan Belfone ini..." dan
tiba-tiba telefon itu meletup dan Yahya jatuh.
Rupa-rupanya, 50 gram bahan peledak telah ditanam di
dalam telefon...

dicilok dari tulisan seseorang.

moga bermanfaat

No comments: