Tuesday, February 28, 2006

Tudung 65 pelajar digunting
Oleh Sariha Mohd Ali

KUANTAN: Tiga guru wanita Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang, Kuala Krau, Temerloh, menggunting kain tudung 65 pelajar perempuan sekolah itu sehingga pendek, kerana dikatakan tidak mematuhi peraturan sekolah.


Kejadian berlaku pada jam 10.30 pagi di dewan sekolah berkenaan Rabu lalu, selepas semua pelajar perempuan itu dikumpulkan di situ kerana gagal mematuhi pemakaian tudung seperti ditetapkan sekolah iaitu potongan bulat dan labuh.

Tindakan yang dianggap memalukan pelajar tingkatan 2,3 dan 4 itu, menyebabkan sesetengahnya menangis tetapi mereka tetap meneruskan sesi pembelajaran dengan sebahagian besar mereka memakai tudung secara terbalik bagi melindungi kesan guntingan.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Md Said, berkata semua ibu bapa pelajar berkenaan tidak berpuas hati dengan tindakan guru berkenaan yang disifatkan sebagai melampau.

Susulan itu, katanya, satu pertemuan secara tertutup diadakan dengan dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Temerloh, pengetua, guru dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau, Datuk Redzuan Haron, semalam.

Katanya, hasil perbincangan tergempar itu, pengurusan sekolah berkenaan diarah membayar ganti rugi atau menggantikan semula semua kain tudung yang digunting itu.

Peraturan pemakaian tudung yang dibuat sekolah, diserah kepada PPD untuk dirujuk kepada Jabatan Pelajaran Pahang, selain tindakan yang bakal dikenakan kepada guru terbabit.

"Sekolah itu mempunyai peraturan baru berhubung cara berpakaian di kalangan pelajar lelaki dan perempuan termasuk pemakaian tudung iaitu labuh dan berpotongan bulat.

"Surat pekeliling berkenaan diserahkan kepada ibu bapa pelajar awal tahun ini dan ia berbeza dengan yang ditetapkan kementerian iaitu tudung tiga segi atau skaf," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.



Sementara itu, bapa pelajar, Hashim Daud, berkata anaknya berasa malu dan tertekan selepas tudung tiga segi berbentuk skaf yang dipakai anaknya digunting guru berkenaan.

"Anak saya rasa malu diperlakukan begitu, malah saya sebagai bapa rasa terkilan kerana tidak dimaklumkan berhubung peraturan yang dibuat sendiri sekolah itu," katanya.

"Saya dimaklumkan, tindakan menggunting tudung pelajar oleh guru sekolah itu sudah dibuat tahun lalu tetapi membabitkan kira-kira 16 pelajar saja," katanya.

"Saya mahu kes ini disiasat dan mereka yang terbabit dikenakan tindakan kerana menggubal peraturan sendiri, sedangkan pelajar mematuhi syarat ditetapkan kementerian," katanya.



Ismail berkata, tindakan keterlaluan guru menggunting tudung mereka tanpa memberi pemakluman awal termasuk kepada ibu bapa, menyebabkan semua pelajar berkenaan berasa malu, marah dan terkilan.


http://mesrarakyat.blogdrive.com/

No comments: